Sah enam anggota MALBATT cedera ringan

Enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) disahkan mengalami kecederaan susulan letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan semalam ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 petang waktu Lubnan atau 7.54 waktu Malaysia.

Menerusi kenyatan malam tadi, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut tetapi turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota daripada MALBATT 850-12 yang mengalami pelbagai kecederaan ringan.

“Seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki patah tertutup pada lengan kiri) dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang turut mengalami cedera ringan,” menurut kenyataan itu.

Jelas ATM, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11.

“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Memetik Agensi, serangan Israel di bandar Sidon itu turut mengorbankan tiga orang awam warga tempatan serta mencederakan tiga tentera negara Lubnan.

Sementara itu, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menerusi akaun X rasmi menggesa pihak berkaitan agar menghindari tindakan yang meletakkan anggota pengaman dalam bahaya.

UNIFIL turut mengingatkan segala perbezaan perlu diselesaikan menerusi rundingan dan bukan keganasan.

BACA JUGA Kemenangan bersejarah buat Malaysia, tuntutan US$15 bilion tidak diiktiraf