Isteri arahkan, suami buat, buat apa?
Bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun berketurunan British-Pakistan yang sedang dibicarakan di London atas tuduhan pembunuhan anaknya itu, memberitahu juri bahawa isteri beliau menyuruhnya mengaku membunuh anak perempuannya.
Urfan Sharif, 42, dituduh membunuh Sara Sharif pada 8 Ogos tahun lalu bersama-sama dengan isterinya yang juga ibu tiri Sara, Beinash Batool, 30, dan bapa saudaranya, Faisal Malik, 29.
Ketiga-tiga mereka menafikan tuduhan membunuh dan menyebabkan atau membenarkan kematian Sara.
Juri di mahkamah Old Bailey diberitahu ketiga-tiga mereka meninggalkan rumah keluarga di Woking, barat daya London, sehari selepas kematian Sara dan terbang ke Pakistan.
Mayat Sara, yang mempunyai pelbagai patah tulang, lebam, kesan melecur, dan gigitan, ditemui oleh pihak polis selepas menerima maklumat daripada Sharif di Islamabad.
Ketika memberi keterangan buat hari keempat, Sharif berkata dia sangat sedih atas kematian anaknya tetapi bersetuju untuk pergi kerana Batool memberitahunya bahawa Sara telah dipukul oleh salah seorang anaknya yang lain, dan dia bimbang akan akibat untuk mereka.
Bukan pengakuan sendiri
Sebelum meninggalkan rumah, dia menulis nota dengan mengambil tanggungjawab atas kematian Sara.
“Kepada sesiapa yang menjumpai nota ini, saya, Urfan Sharif, yang telah membunuh anak perempuan saya dengan memukulnya,” tertulis dalam nota itu.
Namun, Sharif memberitahu juri bahawa pengakuan itu sebenarnya diatur oleh isterinya.
“Saya hanya menulis, tetapi kata-katanya bukan daripada saya,” katanya menegaskan bahawa dia mengambil tanggungjawab itu untuk melindungi anak-anaknya yang lain.
Sebelum berangkat pada 9 Ogos 2023, Sharif meninggalkan kunci rumah di bawah alas kaki agar pihak polis tidak perlu memecah pintu dan telah memutuskan untuk memberitahu pihak berkuasa tentang Sara apabila dia berada di luar negara.
Rakaman panggilan telefon Sharif yang tidak jelas kepada polis di UK selepas tiba di Islamabad telah dimainkan di mahkamah.
“Saya bunuh anak perempuan saya, saya bunuh anak perempuan saya,” katanya.
Dalam panggilan itu, dia memberi arahan kepada polis untuk ke rumahnya, dan menambah bahawa dia “keluar dalam keadaan panik” serta berjanji akan “kembali semula”.
Sebulan kemudian, Sharif, Batool, dan Malik kembali ke UK dan ditangkap, menurut laporan Berita Harian.
BACA JUGA: Anwar tak dapat jumpa Presiden China, dakwa Papagomo selepas pernah rayu bayar RM100 sebulan
Â