PM Anwar ke Mesir, tingkatkan kerjasama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Mesir mulai hari ini hingga 12 November ini atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Beliau akan disambut secara rasmi oleh Presiden Sisi diikuti dengan mesyuarat dua hala bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan bersama antara Malaysia dan Mesir.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian berkata, fokus utama perbincangan dua pemimpin itu akan melibatkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, serta peralihan tenaga.

“Selain itu, ia akan turut merangkumi isu-isu keselamatan makanan dan kelestarian alam,” kata beliau dalam satu sidang media bersama wakil media Malaysia semalam, lapor Astro Awani.

Kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa, terutamanya mengenai konflik di Palestin.

Perdana Menteri Anwar dan Presiden Sisi juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Sharif bagi kerjasama akademik di Fakulti Ulum Islamiah serta MoU antara Malaysia dan Mesir dalam hal-ehwal Islam.

Sebagai sebahagian daripada jadual lawatannya, Tarid berkata, Anwar juga akan menyampaikan ceramah di Universiti Al-Azhar serta mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Kaherah.

Beliau juga dijangka akan menghadiri sesi libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan dan merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga di Mesir.

Lawatan ini disifatkan sebagai langkah bersejarah yang dijangka mengukuhkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Mesir memandangkan ini merupakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Mesir kini merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan nilai dagangan mencapai RM3.35 bilion pada tahun 2023.

BACA JUGA: Delegasi ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara ke sempadan Mesir-Rafah