Politik perkauman murahan pembangkang, AMANAH kecewa
Pengarah komunikasi AMANAH Khalid Samad menzahirkan kekecewaan partinya terhadap politik murahan perkauman yang dimainkan oleh parti-parti pembangkang terutamanya Pas yang mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat Cina yang menyambut Himpunan Guan Gong dengan mengadakan himpunan di beberapa tempat di Malaysia.
Ini membuktikan mereka tidak mampu memainkan peranan membina negara dan tidak mampu membawa manfaat kepada negara, kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut beliau aksi terbaharu pembangkang memberi kesan kepada warga Malaysia berketurunan Cina dan hubungan diplomatic Malaysia-China
“Sambil Perdana Menteri berusaha membina hubungan rapat antara Malaysia dan negara-negara luar, termasuk China, pembangkang menimbulkan isu-isu kebencian dan kesangsian melalui peristiwa bendera China yang dikibarkan semasa satu persembahan kebudayaan yang diadakan di negara kita.
“Sedangkan pada persembahan itu bukan hanya bendera China sahaja yang dikibarkan. Amat sangat mengecewakan apabila, demi menghasilkan berita sensasi dan menonjolkan diri sebagai ‘hero’ bangsa Melayu, isu sedemikian rupa diputar-belit demi menanam kebencian dan kesangsian terhadap rakyat sendiri dan negara China.
“Sedangkan kebanyakan rakyat negara berbangsa Cina, sepertimana juga bangsa-bangsa yang lain, adalah rakyat yang setia dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Begitu juga negara China adalah sebuah negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang sihat dan aktif dengan Malaysia tidak wajar digambarkan sebagai berniat jahat terhadap negara Malaysia.”
Beliau turut menyenaraikan peranan negatif yang dimainkan oleh Perikatan Nasional.
“Pembangkang sediada hanya mampu menyumbang kesangsian, perpecahan dan kerosakan. Amat malang apabila mendakwa berjuang atas nama Islam, tetapi hanya sikap dan perangai perosak mampu dihayati dan dipamerkan.
“Pembangkang ‘clueless’ atau langsung tidak faham terhadap perubahan politik antarabangsa yang bakal berlaku. Oleh itu mereka tidak faham peranan yang membina yang seharusnya dimainkan oleh mereka dan hanya mampu memikirkan cara dan gaya untuk mendapat imej ‘sensasi’ di arena politik negara.
“Walaupun tindakan dan kata-kata mereka boleh merosakkan hubungan antara Malaysia dan negara negara lain, khususnya negara China, mereka samada tidak faham atau tidak peduli.”
Kepelbagaian di Malaysia jangan dikorbankan
Beliau turut mengingatkan Perikatan Nasional bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia adalah sesuatu yang perlu dipertahankan dan bukannya dikorbankan.
“Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum, bangsa, agama dan kebudayaan. Kepelbagaian ini merupakan kelebihan dan kekuatan yang wajar dihargai dan dipertahankan.
“Hubungan baik antara semua kaum di Malaysia membantu membina hubungan baik di antara Malaysia dan negara-negara luar atas sebab sikap saling menghormati yang dihayati dan diamalkan.
“Jangan, demi mendapat sokongan politik murahan, kelebihan ini digugat dan dikorbankan.
“Oleh itu adalah diharapkan semua pemimpin politik akan menyumbang secara positif kearah pengukuhan hubungan Malaysia dan negara-negara lain, termasuk negara China, dan hentikan semua bentuk politiking murahan dan tidak bermaruah supaya usaha-usaha kearah pengukuhan ini tidak terjejas.”
Pihak media turut diingatkan menjalankan tanggungjawab melaporkan berita secara tepat dengan tujuan membina negara secara positif.
“Pihak media bertanggungjawab untuk mencorakkan perpaduan dan persefahaman di antara kaum di negara ini dan oleh itu perlu meletakkan semua peristiwa dalam konteksnya yang tepat tanpa mempolitikkan berita demi menjadikannya lebih sensasi dan kontroversi.
“Media mesti bersifat bertanggungjawab dan berperanan secara konstruktif berusaha membantu membina perpaduan dan persefahaman di dalam dan luar negara.”
Rayuan kepada kerajaan Malaysia, China
AMANAH turut merayu kerajaan Malaysia dan China mengukuhkan kerjasama diplomatik dan tidak membenarkan mainan politik pembangkang hubungan yang sedia ada.
“Kami merayu kepada kerajaan Malaysia dan China untuk terus mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama diplomatik di antara kedua-dua negara dan jangan membenarkan hiruk-piruk hasil kebodohan dan kejahilan serta kepentingan parti dan kelompok mengganggu usaha-usaha yang mulia ini.
“Hubungan antara kedua-dua negara dibina atas semangat saling menghormati kedaulatan, kebudayaan dan rakyat negara masing-masing.
“Biarlah semua memahami bahawa pengibaran bendera negara masing-masing semasa mana-mana persembahan kebudayaan adalah dilakukan atas semangat persahabatan dan kerjasama dan bukan atas keinginan mencabar kedaulatan mana-mana negara.”
BACA JUGA: Ketua pembangkang Perak Razman Zakaria pula disiasat, kenapa?
‘See you in court’, kata Kor Ming kepada Razman
Â