Berang ‘joker’ politik termasuk penunggang agama lemahkan bangsa Melayu

Oleh NORMAN RADZUAN

Malaysia sepatutnya sudah mempunyai Sekolah Politik atau Akademi Politik untuk mengelakkan ‘jadong’ (jahat, bodoh, sombong) politik seperti berlaku sekarang mengambil kesempatan.

Pandangan saya pada masa hadapan mereka yang berminat atau bercita-cita menjadi ahli politik wajib memasuki Akademi Politik untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan pembelajaran sementara menunggu keputusan SPM.

Begitu juga calon wajib seminggu mengikuti Latihan khas pimpinan agar kita tidak lagi melihat wakil rakyat yang bebal atau joker politik terutama dari pembangkang di Parlimen.

Dalam sejarah hidup saya, inilah kali pertama saya melihat perbahasan belanjawan pembangkang berbahas soal bahasa, soal orang lain kena penjara tiba-tiba orang lain jadi PM, soal suruh Menteri tidak menjawab soalan tetapi bercerita soal lain dan bermacam macam lagi yang melucukan.

Saya tertarik pengalaman sewaktu di China ketika dibawa untuk melawat Sekolah Parti. Memasuki perkarangan Central Party School di China seperti anda memasuki sebuah universiti yang hebat.

Fungsi sekolah parti ini ialah untuk mendidik dan mencari bakat daripada pelajar untuk menjadi pemimpin masa depan China. Di sekolah ini, ia mematuhi piawaian politik, akademik, pengajaran dan pengurusan yang ketat.

Ia juga berfungsi sebagai penghalang terhadap salah laku untuk membina kesedaran dan seterusnya menjadi pemangkin dalam melaksanakan tadbir urus parti yg ketat.

Seingat saya naib presiden parti itu berkata, daripada ratusan ribu pelajar sekolah parti, hanya yang terbaik di hantar ke Central Party School di Beijing.

Dari jumlah itu, yang terbaik itu mereka pilih 200 orang, dikecilkan lagi kepada 20 dan akhirnya tujuh pelajar terbaik yang bakal menjadi future President dan Prime Minister of China.

Bagi China seperti dilakukan dalam bidang sukan, sekolah parti sangat diperlukan untuk mendidik dari awal.

Pepatah lama Cina berbunyi “bagi menggali sumur, mulakan dengan menggali lubang yang cetek dan akhirnya kamu akan memperoleh sumur yang dalam.”

Atau kita orang Melayu menyebut ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Akhirnya pemimpin-pemimpin China semuanya berkualiti.

Apabila mempunyai pemimpin berkualiti seperti China, tidak hairanlah tiga inga empat tahun akan datang diramalkan mereka akan menjadi kuasa ekonomi dunia.

Namun, sayang sekali pemimpin jadong negara kita mengajar orang Melayu bahawa China patut dimusuhi bukan dicontohi sedangkan banyak yang boleh kita pelajari daripada tamadun dan kejayaan negara itu.

Kebebalan yang dibanggakan

Hakikatnya, Malaysia perlu membina Akademi Politik sebagai piawaian kepada mereka yang ingin menjadi calon agar kita tidak lagi melihat Ahli Parlimen bertaraf bebalisme yang dapat kita lihat di Parlimen sekarang.

Lebih parah, kebebalan mereka itu disukai dan dibanggakan oleh penyokong-penyokong mereka. Ini sangat tidak baik untuk sebuah negara yang bercita-cita untuk menjadi negara yang maju. Negara maju mesti mempunyai pemikiran yang maju.

Bebalisme adalah kalimah yang digunakan juga seperti JADONG oleh Prof Syed Hussein Al Attas.

Beliau memandang kepimpinan intelektual penting untuk menyelamatkan negara daripada terus terpasung dalam penjara kemunduran.

Syed Hussein menegaskan akan pentingnya kelompok ini berperanan merawat masyarakat.

Saya sering membaca komen para pengkritik bebas (netizen) yang menggunakan istilah ‘walaun’ menggambarkan bagaimana kelompok terbabit mudah dimanipulasi atau ‘dibodohkan’ pemimpin mereka atas nama agama dan bangsa.

Ia telah lama dikesan oleh Syed Hussein dan beliau sering mengulangi bahawa bebalisme adalah satu sikap, bukannya ideologi atau sistem kepercayaan.

Bebalisme merupakan parasit dalam fikiran, ia tidak mempunyai pendukung dan tidak menuntut sesuatu apa pun. Bebalisme tidak diinstitusikan, tidak dirakam atau disiarkan sebagai satu haluan. la bertahan sebagai parasit pemikiran melalui ketidaksedaran.

Sebab itu, saya sangat berang politikus melemahkan bangsa Melayu. Apatah dalam kalangan pimpinan parti yang kononnya bertunjangkan agama. Pimpinan parti terbabit yang ketandusan pemikiran intelektual, akhirnya bangsa kita ditarik ke belakang dalam arus dunia yang pantas ke hadapan.

Kuasai media sosial

Saya minggu ini sekali lagi dijemput sebagai salah seorang penceramah untuk Sekolah Wanita (SWAN) . Ia adalah usaha Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek sebagai platform latihan pengukuhan pemahaman dan kemahiran kepada wanita berumur 18 tahun ke atas.

Matlamat SWAN adalah untuk melahirkan pemimpin wanita yang berilmu, berketrampilan, dan berkeyakinan, serta mampu menerapkan nilai keadilan dalam semua aspek kehidupan meliputi politik, sosial, ekonomi, dan kepimpinan.

Tahniah saya ucapkan cuma ada beberapa saranan daripada saya dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (Setpol Kanan).

Saya sangat bersetuju saranan Shamsul Iskandar perlunya kita mencari bakat pemidato daripada kalangan ahli parti.

Saya pula cadangkan mekanisme itu bukakan kepada semua wanita PKR untuk menghantar nama-nama berkelayakan kepada Pengetua Swan, Yong Bazilah untuk menyertai pertandingan ‘Penceramah Pemimpinan Masa Depan’ .

Saya pula pernah menulis sebelum ini berazam agar setiap Cabang ada unit media sendiri dengan kandungan aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

PKR mempunyai 222 Cabang. Anda bayangkan jika kesemuanya aktif? Bukankah PKR sudah menguasai media sosial?

Begitu juga idea Sekolah Wanita ini sepatutnya perlu diwujudkan ‘Sekolah Parti’ untuk PKR terutama melibatkan AMK bukan hanya untuk sayap Wanita sahaja.

Anak-anak muda ini adalah pemimpin masa depan negara. Jika tiada ilmu politik, kita bimbang mereka akan hilang haluan dan hanyut dengan nikmat laba politik.

Mereka bukan sahaja diajar tentang kepimpinan tetapi kemahiran bagaimana menarik anak-anak muda di luar sana untuk bersama parti.

Saya lihat kemahiran ini sangat tumpul dalam kalangan mereka berbanding UMNO, Pas dan DAP.

Apapun tahniah saya ucapkan kepada Yong Bazilah atas kejayaan siri Sekolah Wanita ini. Semoga usaha anda ini suatu hari akan muncul pimpinan wanita yang hebat suatu hari nanti.

BACA JUGA Malaysia sedia bantu mangsa di Lubnan yang terkesan akibat serangan pengganas Israel