Kes buli UPNM: Polis sahkan suspek utama dipanggil petang ini
Sembilan individu yang dikaitkan dengan kes buli seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga menyebabkan keretakan tulang rusuk, telah pun dirakam percakapan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek utama kes itu pula akan dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, petang ini..
“Setakat ini kita sudah rakam percakapan sembilan individu dan suspek kita akan ambil (keterangan) di Ibu Pejabat Daerah Cheras petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu kecoh apabila seorang penuntut UPNM tahun satu didakwa cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior, bulan lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam, 21 Oktober lalu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan berada di tepi padang kawad sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.
Akibatnya mangsa mengalami kecederaan dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Kejadian itu berlaku sehari sebelum seorang penuntut universiti sama ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
BACA JUGA Skandal projek 1BestariNet panas di Dewan Rakyat pagi ini