Mangsa banjir di Pahang meningkat 417, empat sungai lepasi paras waspada

Mangsa banjir di Pahang yang membabitkan daerah Raub dan Lipis meningkat kepada 417 orang sehingga 8.20 malam ini.

Kesemua mangsa daripada 111 keluarga itu berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS), menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka terbabit termasuk 100 warga emas, 94 kanak-kanak dan 15 bayi.

Enam PPS dibuka di Raub dengan menempatkan 223 mangsa iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Pusat Kegiatan KEMAS Gali, Masjid Kampung Pintu Padang, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

Di Lipis, 194 mangsa banjir melibatkan 46 keluarga pada masa ini sedang berlindung di dua PPS iaitu SK Kechau Tui dan Dewan Semai Bakti FELDA Kechau 1.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan, empat sungai melepasi paras waspada.

Ia membabitkan Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Jelai di Jeram Bungor (Lipis), Sungai Jelai di Jeti Lipis dan Sungai Luit di Kampung Subuh di Maran.

Raub mula dilanda banjir awal pagi semalam disusuli daerah di utaranya iaitu Lipis susulan hujan lebat.

BACA JUGA Berang ‘joker’ politik termasuk penunggang agama lemahkan bangsa Melayu

Â