SPRM sedang siasat perbelanjaan pelaburan diterima FashionValet dari Khazanah, PNB

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sedang menyemak dan menjalankan siasatan berhubung aliran tunai yang diterima pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Menurutnya, SPRM masih dalam proses mendapatkan penjelasan tentang kaedah penerimaan dan perbelanjaan pelaburan yang diterima daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

“Siasatan masih berjalan dan semakan sedang dibuat terhadap pasangan ini berhubung jumlah wang (pelaburan) yang diterima daripada Khazanah dan PNB,” katanya, memetik BH.

Beliau memberitahu setakat ini pihaknya telah merekodkan keterangan sembilan saksi termasuk pasangan itu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Azam turut tidak menafikan kemungkinan pasangan itu akan hadir semula pada hari berikutnya bagi menyambung proses rakaman keterangan kepada SPRM.

“Saya tidak nafikan esok, lusa akan dipanggil lagi sebab siasatan masih dijalankan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengesahkan setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kesemua saksi memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Pada 2.30 petang tadi, kenderaan membawa pasangan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, bagi memberikan keterangan.

Kehadiran mereka sekaligus merupakan hari kelima proses rakaman keterangan dijalankan.

Ia susulan penemuan SPRM terhadap beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Setakat 8 malam tadi, dilaporkan masih belum terdapat pergerakan keluar melibatkan pasangan terbabit.

Pemberian keterangan oleh pasangan tersebut dalam satu-satu hari pernah menelan tempoh sehingga lima jam seperti yang berlaku pada 8 November lalu.

BACA JUGA Mangsa banjir di Pahang meningkat 417, empat sungai lepasi paras waspada

Â