Tular audio rasuah ‘RM500,000 saja’, ramai teka macam ‘YB Sabah’
Tular audio ringkas yang dikaitkan dengan perbincangan rasuah melibatkan seorang ahli politik apabila warganet meneka rakaman suara itu seperti milik wakil rakyat atau YB dari Sabah.
Menerusi siaran Malaysiakini yang memperoleh klip rakaman audio tersebut daripada pemberi maklumat, pemimpin parti politik itu juga menyebut tentang mesyuarat di peringkat bahagian.
“Pasal duit itu sudah saya pakai untuk saya punya bahagian meeting hari tu.
“Saya buat (mesyuarat) besarlah…,” kata individu berkenaan dalam sedutan rakaman suara itu.
Rata-rata berpendapat ahli politik berkenaan seperti dari Sabah berdasarkan loghat yang kedengaran.
Hal itu turut diakui rakyat Sabah sekaligus mendesak pemberi maklumat segera membuat aduan rasmi kepada SPRM untuk tindakan pihak berkuasa seterusnya.
“Buat malu orang Sabah saja, corruptor level kedai runcit kampung. We do not need compromised politician.
“Kalau Sabah ngam tangkap semua yang rasuah, jalanraya berlubang-lubang, PATI (pendatang tanpa izin) berlambak.
“Selalu orang Sabah kata Semenanjung ‘makan duit’ Sabah dan Sarawak. Kali ini jelas suara orang YB Sabah,” demikian antara komentar warganet.
Memetik Malaysiakini, rakaman tersebut merupakan perbincangan seorang Adun dengan seorang ahli perniagaan berhubung syarat memulangkan “RM500,000” yang diterimanya sebagai balasan menyokong projek di sebuah negeri.
Ahli politik berkenaan mengatakan dia akan memulangkan jumlah itu secara berfasa sejak lesen untuk projek tersebut dibatalkan.
Terdahulu, media melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai dakwaan tersebut.
BACA JUGA SPRM sedang siasat perbelanjaan pelaburan diterima FashionValet dari Khazanah, PNB
Â