GISBH: Op Global empat fasa membawa kepada 94 IP, 410 tangkapan
Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas Global Ikhwan Service & Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) sepanjang bulan September dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan telah menyebabkan pihak polis membuka sebanyak 94 kertas siasatan (IP) pelbagai akta dan 410 tangkapan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Berdasarkan tempoh fasa siasatan pihak PDRM bermula 2 hingga 30 September 2024, pihak PDRM telah membuka sebanyak 94 kertas siasatan dengan pelbagai akta, 410 orang tangkapan dan sebanyak 11 kertas siasatan telah dituduh melibatkan (8) orang (OKT).
“Jumlah mangsa yang telah diselamatkan seramai 625 orang terdiri daripada lelaki 308 orang dan perempuan 317 orang,” kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).
Ahmad Fadhli meminta kronologi siasatan dan tindakan kerajaan ekoran dakwaan penyelewengan akidah dan manipulasi kanak-kanak oleh kakitangan GISBH.
Kronologi empat fasa
“Dalam fasa 1, sejak 2 hingga 10 Sept, empat laporan polis kes penderaan kanak -kanak diterima di Negeri Sembilan dan Selangor. Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka dan enam tangkapan dibuat.
Serbuan ke atas 20 premis Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) di Selangor (18) dan Negeri Sembilan (2) turut dibuat. Siasatan dijalankan di bawah seksyen 31(a) dan 31(b) Akta Kanak-Kanak 2001, seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menerusi fasa 2 pada 11 hingga 17 Sept 2024, 24 kertas siasatan dibuka membawa kepada penangkapan 176 orang dan penyelamatan 392 kanak-kanak.
Sebanyak empat kertas siasatan digunakan untuk tuduhan ke atas dua orang dengan lima pertuduhan.
“Siasatan telah dijalankan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan 1984, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seksyen 506 Kanun Keseksaan, seksyen 427 Kanun Keseksaan dan seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan seksyen 12 dan ATIPSOM 2007.
Di dalam fasa tiga yang bermula pada 18 hingga 20 Sept, 36 tangkapan termasuk pengerusi GISBH di bawah seksyen 12 ATIPSOM dibuat.
Fasa keempat pula dari 21 hingga 30 Sept menyaksikan tangkapan 213 orang dan 56 kertas siasatan dibuka.
Siasatan dibuat di bawah seksyen 31(a) dan 32(a) Akta Kanak-Kanak, Seksyen 12 dan 14 ATIPSOM 2007, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, seksyen 298 Kanun Keseksaan /seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 Seksyen 6(1)(c) / seksyen 55E Akta Imigresen 1957/1963 dan seksyen 13 (1)(B) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
BACA JUGA: Jadi ahli kumpulan jenayah terancang, ini tuduhan dihadapi CEO GISBH dan 21 individu
Â