Langkah bersepadu kerajaan, BNM demi pengukuhan RM, ini dia…
Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah bersepadu demi pengukuhan Ringgit Malaysia (RM) yang padu menerusi pembaharuan struktur dan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing.
“Komitmen teguh kerajaan ke arah perlaksanaan pembaharuan struktur yang diperlukan akan menambah baik prospek Malaysia dan memberikan sokongan yang lebih berkekalan kepada ringgit.
“Pada masa ini, ekonomi Malaysia sedang berkembang dengan baik, kadar inflasi adalah rendah dan kedudukan luaran yang kukuh.
“Dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang sedia ada telahpun disusun untuk menyokong perkembangan ekonomi di samping memastikan daya tahan ekonomi Malaysia kekal utuh.
“Kerajaan juga terus menyokong pelancongan dalam negeri dan mempromosikan kempen membeli produk buatan Malaysia secara berleluasa bagi yang berkemampuan. Di samping itu, kerajaan turut menggalakkan lebih banyak pelaburan domestik.
“Sementara itu, BNM akan terus bersedia mengambil Langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran asing (FX Intervention) untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.
“BNM komited untuk memastikan kecairan pasaran pertukaran asing yang mencukupi dan persekitaran yang kondusif bagi pengeksport, pengimport ataupun perniagaan untuk menjalankan operasi mereka.”
Amir Hamzah berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang bertanya berkenaan faktor yang menyebabkan pengukuhan RM dan kesan negatif sekiranya pengukuhan terlampau drastik.
Menurut beliau, kesan pindahan berbeza terhadap harga domestik berbeza mengikut jenis barangan import.
“Harga barangan penggunaan akhir (seperti makanan segar, telefon mudah alih) cenderung menurun apabila nilai ringgit mengukuh.
“Sebaliknya, penurunan harga input perantara diimport yang mempengaruhi kos pengeluaran syarikat berpotensi mengurangkan insentif syarikat untuk menaikkan harga. Ini mengurangkan tekanan kenaikan harga barang.
“Harga sesetengah jenis barang juga mungkin bertindak balas secara berbeza terhadap pergerakan kadar pertukaran.
“Barangan makanan import (seperti daging lembu beku dan beberapa sayur-sayuran) lazimnya mengikuti perubahan kadar pertukaran, manakala barangan bukan makanan seperti farmaseutikal cenderung meningkat apabila ringgit melemah tetapi kekal tidak berubah apabila ringgit mengukuh (kesan pindahan yang mempunyai asimetri),” katanya.
BACA JUGA Tular audio rasuah ‘RM500,000 saja’, ramai teka macam ‘YB Sabah’