Apa jadi dengan kes mahkamah Daim selepas ini? SPRM beri penjelasan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata segala perbicaraan berkaitan kes Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang masih berlangsung di mahkamah akan diputuskan kelak oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu mengenai kemungkinan pendakwaan terjejas selepas pemergian bekas menteri kewangan itu.

“Kami akan membincangkan dengan pihak TPR mengenai bagaimana pemergian Allahyarham Tun Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan.

“Kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya kepada media, hari ini.

Azam berkata, perkara itu kemungkinan akan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu dan SPRM akan mengemaskini perkembangan baharu sebaik keputusan dibuat.

Terdahulu media melaporkan Daim meninggal di sebuah hospital swasta hari ini pada usia 86 tahun.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan menngalami strok dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU).

SPRM sebelum ini telah melakukan penyiasatan terhadap Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.

Pada Disember tahun lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi miliknya.

BACA JUGA Kelab malam di Golok jadi tumpuan anak muda Kelantan berhibur – MP Thailand