‘Celah mana pula Maszlee Malik hapuskan UPSR, PT3’

Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tampil bersuara ketika namanya kena ‘petik’ ekoran desakan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan.

Beliau menjelaskan bahawa Datuk Dr Radzi Jidin ketika menjadi Menteri Kanan Pendidikan yang memansuhkan UPSR dan PT3 manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula mengekalkan pemansuhan tersebut.

“Celah mana pula Maszlee Malik yang hapuskan,” katanya di Facebook beliau diikuti emoji ketawa.

Maszlee berkata, beliau tidak pernah menghapuskan apa-apa peperiksaan awam sepanjang dilantik sebagai Menteri Pendidikan dari 2018 hingga 2020.

Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan agar semua pihak menerima penghapusan kedua-dua peperiksaan awam bagi murid tahun enam dan tingkatan tiga itu.

“Apapun, KPM dah bertegas kekalkan mansuh UPSR dan PT3. Move on sahaja.

“Bersama guru dan ibu bapa perkasakan dan perbaiki PBS dan PBD.

“Jika tanya saya, apa yang kita mampu buat sebagai rakyat marhaen?

“Guru-guru dan ibu bapa pupuklah gaya hidup membaca, berfikiran kritis dan juga minda saintifik di kalangan anak-anak.

“Membaca, membaca, membaca dan berfikir… jangan ikut membuta tuli,” nasihatnya lagi.

Kelmarin, Fadhlina menegaskan bahawa kerajaan pada masa ini tidak akan berpatah balik dengan mengekalkan keputusan penghapusan UPSR dan PT3 kerana tidak lagi relevan.

BACA JUGA Muncul sohor kini ‘Israel First’, rupanya ini yang Trump buat

Â