Anwar dianugerah pingat ‘El Sol del Peru’, tanda penghormatan tertinggi kepada Malaysia
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan pingat tertinggi Republik Peru, ‘El Sol del Peru’ dalam satu Istiadat Penganugerahan di Istana Kerajaan Peru semalam.
Pingat itu disampaikan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.
‘El Sol del Peru’ yang bermaksud ‘Mentari Peru’ (The Sun of Peru) merupakan satu pengiktirafan dan melambangkan penghormatan tertinggi yang dianugerahkan oleh Republik Peru termasuk dalam menyerlahkan hubungan rapat persahabatan dan kerjasama yang menyatukan kedua-dua negara.
Pingat “El Sol del Peru” ini dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam.
Dalam ucapannya Perdana Menteri berkata, beliau berbesar hati menerima anugerah tertinggi bagi pihak rakyat Malaysia dan ia juga sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.
“Penganugerahan ini juga diharap menjadi permulaan baharu kepada perhubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Penganugerahan pingat itu menandakan peristiwa penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru, selain merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
BACA JUGA Siti Nurhaliza naik ‘pangkat’, dari penyanyi nombor 1 kini biduanita negara