Siti Nurhaliza naik ‘pangkat’, dari penyanyi nombor 1 kini biduanita negara
Seperti yang dijangka, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin diiktiraf sebagai biduanita negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
Siti merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.
Beliau menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Siti menyifatkan anugerah khas yang diberikan kepadanya bukan sekadar pengiktirafan terhadap kerjaya seninya, tetapi juga didedikasikan buat semua pejuang seni tanah air.
Sambil memanjatkan kesyukuran, Siti mengakui pengiktirafan diterima itu hadir dengan tanggungjawab yang cukup besar untuknya terus menabur bakti dalam bidang yang menjadi kecintaannya sejak hampir tiga dekad lalu.
“Amanah dan kepercayaan ini juga adalah satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
“Kepada Allah saya panjatkan kesyukuran tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat. Saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik,” katanya malam tadi
Terdahulu Siti menerima Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
BACA JUGA Apa jadi dengan kes mahkamah Daim selepas ini? SPRM beri penjelasan