Daim ada jasa pulih Tabung Haji
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan jasa Allahyarham Tun Daim Zainuddin, terutama sumbangan beliau dalam usaha memulihkan Tabung Haji (TH) sebelum ini akan dikenang selama-lamanya.
Menerusi kenyataan hari ini, Mujahid berkata, Daim dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dikenali sebagai ‘Council of Eminient Person’s (CEP) yang dibentuk pada Mei 2018, dengan salah satu misi besarnya ialah memfokus pemulihan TH yang mengalami defisit RM4 bilion ketika itu dan terus ‘membengkak’ kepada RM10 bilion pada akhir tahun berkenaan.
“Antara dapatan awal majlis penasihat itu ialah terdapat kelakuan salah tadbir dan pembelian dana penjualan saham yang meragukan sehingga TH mengalami kerugian.
“Ini termasuk isu tatakelola yang culas dan tidak menepati piawaian perakaunan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, jawatankuasa itu juga telah melantik bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof, sebagai Pengerusi baharu TH, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd, Datuk Seri Zukri Samat, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Ahli Dewan Negara berkenaan berkata, sebagai menteri yang menjaga portfolio agama ketika itu, misi pemulihan TH diserahkan kepadanya sebagai menteri bertanggungjawab untuk dilaksanakan.
“Jasa Tun Daim sebagai Pengerusi Penasihat Kerajaan PH 1.0, terkhusus melihat pemulihan TH, akan dikenang selamanya.
“Bermula dari sinilah, kerangka penstrukturan semula TH digerakkan 2018-2020.
“Alhamdulillah hingga kini, TH berada pada landasannya yang tepat untuk memacu cabaran mendatang,” kata mantan Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.
Pada jam 8.21 pagi semalam, Daim menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun ketika menjalani proses rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Allahyarham yang merupakan sahabat baik Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1984 hingga 1991 dan sekali lagi pada 1999 hingga 2001.
BACA JUGA Dah kerap maki dan fitnah PMX, bekas polis dipecat ini ingatkan pasal malapetaka dahsyat pula
Â