Malaysia serah al-Quran kepada Persatuan Islam Peru

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan 50 naskhah al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol kepada Persatuan Islam Peru.

Penyerahan al-Quran itu dibuat semasa pertemuan Perdana Menteri bersama anggota persatuan itu pimpinan Presidennya, Murad Hamida.

Sepanjang pertemuan selama 30 minit, Anwar memaklumkan antara perkara dibincangkan ialah pembangunan umat Islam di negara yang terletak di barat Amerika Selatan itu.

“Mereka turut memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu, dipetik Bernama.

Dalam masa sama, Malaysia turut menyatakan komitmen dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru.

Lawatan rasmi pertama Anwar ke Peru dan rantau Amerika Latin serta Caribbean sebagai Perdana Menteri Malaysia itu antara lain bagi menyertai Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Anwar juga dijadualkan akan menjadi ahli panel dalam sesi bertajuk “Peluang dan Cabaran dalam Revolusi Kecerdasan Buatan (AI)” bersama pegawai kanan Google.

BACA JUGA Biadab maki PM Anwar, Papagomo ditempelak ‘binatang’ apa kena bayar saman

Â