Lawatan luar negara PMX membazir? Ini nilai eksport berjaya diraih ketika PM ke Peru

Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Lima Peru membawa kejayaan besar buat Malaysia apabila berjaya menjana potensi eksport bernilai RM1.24 bilion dalam sektor berpotensi tinggi.

Perdana Menteri berkata, syarikat di Peru menunjukkan minat untuk mengimport bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, peralatan dan produk perubatan, minyak sawit, bahan kimia serta produk makanan dan minuman dari Malaysia.

“Kami akan melaksanakan tindakan susulan, terutama dalam aspek kerjasama logistik dan pelabuhan, bagi memudahkan proses eksport antara kedua-dua negara,” kata Anwar dalam sidang media selepas Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) semalam.

Untuk rekod Anwar telah mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin perniagaan mewakili 17 syarikat Peru yang terbabit dalam pelbagai industri termasuk farmaseutikal, bahan binaan, produk berasaskan kimia, dan makanan kesihatan.

Setakat ini, syarikat Peru telah mengimport barangan bernilai RM435.27 juta (AS$95.44 juta) dari Malaysia.

Dari sudut pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti tujuh syarikat Peru yang berminat melabur di Malaysia terutama dalam sektor pemprosesan makanan, perkhidmatan logistik bersepadu dan farmaseutikal.

Beliau berkata, tindakan susulan akan diambil bagi merealisasikan kesemua niat tersebut secepat mungkin.

MITI juga mengambil maklum penyertaan 16 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Malaysia yang mengambil bahagian dalam lawatan rasmi Perdana Menteri itu.

Langkah berkenaan membuka ruang kepada kerjasama baharu dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

Di sela-sela mesyuarat APEC, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, turut mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura, Jepun, dan New Zealand.

BACA JUGA Kartel baja: Siasatan SPRM lengkap tak lama lagi

Â