Terkini: Melaka tarik balik gelaran Datuk CEO GISBH berkuatkuasa serta merta

Kerajaan negeri Melaka menarik balik serta merta darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada CEO Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad memaklumkan, arahan tersebut dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam selepas mendapat nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Penarikan balik Darjah Kebesaran ini dibuat serta merta selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.

“Sehubungan dengan itu, nama Encik Nasiruddin bin Mohd Ali telah dikeluarkan dari Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, Nasiruddin tidak dibenarkan menggunapakai gelaran tersebut dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Melaka

Nasiruddin dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada 25 Ogos lalu.

BACA JUGA Tiga tuduhan rasuah: Bung Moktar, isteri diperintah bela diri