Amaran hujan berterusan hingga 23 November, mana kawasan terlibat?
Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu manakala di Pahang melibatkan daerah Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga 23 November ini.
Amaran hujan berterusan tahap buruk itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga 23 November pula dikeluarkan untuk seluruh Kelantan dan Pahang meliputi Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.
Keadaan cuaca dengan amaran tahap sama tetapi sehingga 20 November untuk Melaka, Johor dan Negeri Sembilan iaitu Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.
Dilaporkan, luruan monsun membawa hujan lebat berterusan yang kini berlaku di timur dan selatan Semenanjung dijangka berlanjutan hingga hujung November ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan hari ini, analisis terhadap ramalan cuaca terkini menunjukkan kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November hingga 1 Disember.
Jelasnya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung sepanjang tempoh itu.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia.
Maklumat berkaitan boleh diperoleh menerusi medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.
BACA JUGA Perdagangan Malaysia kekal kukuh, catat nilai dagangan 10 bulan pertama tertinggi dalam sejarah