Dari 12 orang meningkat 212 mangsa, 4 daerah di Terengganu banjir malam tadi
Empat daerah di Terengganu dilanda banjir pada jam 10 malam tadi sehingga menjejaskan kira-kira 54 keluarga atau 212 orang mangsa.
Empat daerah terlibat iaitu Kemaman, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu, rekod setakat tengah malam semalam.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air dua sungai di Terengganu melebihi tahap amaran dengan trend menaik iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.
Sementara itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan 212 mangsa kini ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).
Kemaman mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 97 orang daripada 22 keluarga.
Mereka kini berlindung di tiga PPS iaitu di Balai Raya Meraga Beris, Dewan Orang Ramai Kampung Labohan dan Sekolah Kebangsaan Kemasik.
Ia diikuti Hulu Terengganu dengan 53 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di tiga PPS; dan di Setiu pula terdapat 49 mangsa daripada 14 keluarga yang ditempatkan di satu PPS sahaja.
Di Marang sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Sivik Wakaf Tapai.
Â