Asyik disindir pembangkang, Anwar berseloroh nak ambil gaji tahun depan
Ketika sambutan ulang tahun Kerajaan MADANI hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kenapa beliau sejak menjawat jawatan itu tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.
Ini kerana katanya, beliau masih mempunyai elaun sebagai Ahli Parlimen Tambun.
Sedar dirinya disindir pembangkang hanya kerana tidak mengambil gaji, Anwar secara berseloroh berkata beliau akan mengambil gaji mulai tahun hadapan.
“Bila saya kata tak ambil gaji, kena sindir. Jadi saya fikir mungkin tahun depan saya nak ambil baliklah.
“Kita tak ambil gaji (tetapi) elaun Parlimen kita ambil. (Datuk Seri Dr) Azizah (Wan Ismail) juga ada elaun Parlimen. Campur-campur oklah. Saya bukan miskin,” katanya di KLCC hari ini.
Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan telah membuat pengorbanan bagi memastikan kesaksamaan, termasuk pengurangan 20 peratus gaji menteri, manakala gaji penjawat awam dinaikkan baru-baru ini.
Walaupun dengan langkah-langkah ini, Anwar mengambil maklum bahawa ada pihak yang menurutnya masih pantas membuat kritikan tanpa memberikan cadangan yang membina.
“Demikianlah politik picisan yang ada. Mereka tak hargai langkah yang diambil (tapi) boleh kritik,” katanya.
BACA JUGA Nak senang faham PMX pi kerja “tong-tong” dengan syarikat swasta