Lima negeri kini dilanda banjir, Kelantan negeri terbaru terjejas
Jumlah mangsa banjir di Semenanjung Malaysia terus meningkat malam tadi selepas lima negeri dilanda banjir, dengan Kelantan negeri terbaharu yang terjejas.
Lima negeri dilanda banjir melibatkan Melaka, Terengganu, Perak, Selangor, dan Kelantan.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, banjir di lima negeri itu melibatkan 808 mangsa daripada 202 keluarga yang dipindahkan ke 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 11 pagi ini.
Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 409 mangsa daripada 93 keluarga.
Kawasan terjejas melibatkan lima daerah iaitu Marang, Dungun, Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu. Mereka kini ditempatkan 17 PPS.
Sementara itu, di Melaka pula melibatkan Melaka Tengah yang mempunyai seramai 284 mangsa daripada 74 keluarga dengan tiga PPS dibuka setakat ini.
Bagi Perak pula, seramai 68 mangsa daripada 22 keluarga membabitkan satu daerah iaitu Larut, Matang dan Selama yang berada di sebuah PPS.
Di Selangor, setakat ini seramai tujuh mangsa daripada 2 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di daerah Kuala Langat
Menurut data JKM itu lagi, hanya satu daerah iaitu Bachok di Kelantan yang dilanda banjir melibatkan seramai 40 mangsa daripada 11 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS.
BACA JUGA Fadhli Shaari MP ‘level’ baca tajuk