Jumpa delegasi Bin Zayed International, apa kata Menteri Kesihatan?
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu beliau berbesar hati mengadakan pertemuan bersama delegasi daripada Bin Zayed International Group of Companies, kelmarin.
Beliau berkata, delegasi itu diketuai oleh Pengerusi syarikat, Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan.
Menurut Dr Dzulkefly, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat mengalu-alukan pelaburan dan kerjasama strategik daripada sektor swasta, khususnya ke dalam sektor kesihatan.
“Saya juga berpeluang berkongsi visi saya mengenai inisiatif Rakan KKM yang telah diluncurkan baru-baru ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif Rakan KKM bertujuan memperkukuh kerjasama sektor awam dan swasta demi memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, mengoptimumkan sumber, dan meningkatkan kecekapan sistem penjagaan kesihatan negara.
Dr Dzulkefly menambah, perbincangan dengan syarikat terbabit turut menyentuh peluang kerjasama dalam teknologi kesihatan dan inovasi perubatan yang boleh membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia.
“Dengan pendekatan ‘whole-of-nation’, saya percaya kolaborasi seperti ini adalah langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia #MADANI, di mana kesejahteraan dan Kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” kata Dr Dzulkefly lagi.
BACA JUGA Amaran hujan sangat lebat tahap bahaya, buruk di enam negeri hingga 29 November
Â