Ambil kredit kalau pelaburan berjaya, ‘taichi’ pihak lain jika tak jadi?
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar tidak mengambil kredit sekiranya pelaburan berjaya tetapi seolah-olah ‘taichi’ pihak lain jika pelaburan tidak menjadi kenyataan.
Kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mendakwa syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan agar mereka menarik diri daripada projek yang diumumkan.
Sebagai contoh, kata ADUN Jeneri itu, keputusan konglomerat Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion, tanpa mendedahkan punca penarikan.
Mengulas sikap Sanusi, pemerhati politik Najib Bakar berpendapat jika ada pelaburan Kumpulan Bin Zayed itu, yang patut mendapat dan mengambil kredit adalah Kerajaan Pusat.
Hal ini kerana, Sanusi sendiri sebelum ini menyatakan bahawa pengumuman pelaburan tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan terdahulu yang kini menjadi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau juga menyifatkan pengumuman penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG untuk menambah pelaburan lima bilion euro (RM30.1 bilion) bagi membina kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim turut merupakan bukti bukan Kerajaan Pusat yang menggagalkan pelaburan swasta di Kedah.
“Bermakna, pengumuman tambahan pelaburan Infineon berjumlah RM30 bilion tu, kejayaan PMX dan Kerajaan Pusat yang tarik pelabur.
“Janganlah cuma ambil kredit kalau pelaburan berjaya, tapi bila tak jadi, taichi kat orang lain.
“Pelaburan Infineon yang besar di Kedah juga bukti bukan Kerajaan Pusat yang gagalkan pelaburan swasta di Kedah,” kata Najib lagi.
BACA JUGA Amaran hujan sangat lebat tahap bahaya, buruk di enam negeri hingga 29 November