Bimbang banjir dijangka lebih teruk, paras air Sungai Golok dah lepasi bacaan bah kuning 2014

Penduduk Kelantan melahirkan rasa bimbang bah 2024 dijangka lebih teruk susulan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang yang telah mencecah 11.52 meter (m) berbanding paras bahaya 9 m.

Angka sehingga jam 9.30 pagi tadi dengan trend paras air menaik sudah melepasi rekod bah kuning pada 2014 iaitu 10.84 m.

Paras air sungai yang bersempadan dengan Thailand itu terus meningkat berbanding malam tadi 10.9 m.

Sungai-sungai utama di lapan lokasi direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pagi ini juga sudah melepasi paras bahaya dan menunjukkan trend menaik.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat secara mendadak.

Sehingga jam 10 pagi tadi, sejumlah 31,813 mangsa banjir dipindahkan ke PPS berbanding 28,904 orang setakat 7 pagi.

Kesemua mangsa daripada 9,579 keluarga membabitkan sembilan daerah itu kini berlindung di 161 PPS, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk rekod, selain bah kuning 2014, banjir besar telah melanda Kelantan pada 1926 yang dikenali sebagai bah merah, 1931, 1967, 1979 dan 2004.

Bah kuning 2014 menyaksikan sejumlah 170,000 orang membabitkan kira-kira 36,000 keluarga terpaksa dipindahkan.

BACA JUGA Kelantan, Terengganu terus ditenggelami air, mangsa banjir naik mendadak pagi ini

Â