Kelantan, Terengganu terus ditenggelami air, mangsa banjir naik mendadak pagi ini
Kelantan dan Terengganu terus ditenggelami air dengan jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat permindahan sementara (PPS) meningkat mendadak setakat 7 pagi ini.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 28,904 orang berbanding 21,568 jam 8 malam tadi.
Kesemua mangsa bah ditempatkan di 149 PPS pagi ini melibatkan sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Jeli.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 11,669 orang di 39 PPS.
Ia disusuli Tanah Merah (3,200 mangsa di 22 PPS), Kuala Krai (2,826 mangsa di 25 PPS), Pasir Puteh (2,757 mangsa di 15 PPS), Tumpat (2,390 di tujuh PPS) dan Kota Bharu (2,156 mangsa di 17 PPS).
Bachok pula mencatatkan 1,384 mangsa berlindung di enam PPS diikuti Machang (1,749 mangsa di 12 PPS) dan Jeli (773 mangsa di enam PPS).
Di Terengganu, hujan amat lebat dan berterusan mengakibatkan 5,853 mangsa banjir terpaksa berlindung di 144 PPS pagi ini berbanding 3,768 orang setakat 8 malam tadi.
Mereka terdiri daripada 1,884 keluarga membabitkan enam daerah iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga esok.
BACA JUGA Tular banjir deras nyaris hanyutkan dua mangsa, penduduk dinasihat jangan pertaruh nyawa