Gelap-gelemat Kota Bharu, ini rupanya sebab 27 kawasan di tujuh daerah bergelap

Sekitar Kota Bharu bergelap malam tadi susulan tindakan TNB menghentikan bekalan elektrik di enam kawasan di ibu negeri Kelantan itu akibat keadaan banjir yang semakin membimbangkan.

Pemandangan dari udara yang dikongsikan pengguna Facebook, Syam Ghaz menunjukkan sebahagian kawasan di Kota Bharu yang gelap gelemat ketika banjir di Kelantan semakin buruk.

Mengikut TNB Careline, enam kawasan di Kota Bharu yang ditutup bekalan elektrik itu adalah G-Orange, Sekolah Kebangsaan Kadok, Taman Sri Kulim, Pusat Usahawan Melor, Taman Jaza dan Perumahan Hutan Pasir.

Selain Kota Bharu, 21 kawasan di enam daerah lagi turut bergelap iaitu Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.

Di Pasir Puteh, lokasi terjejas adalah DPS 9-12, BELB Sungai Gali, Kilang Bata Tasek Pauh dan Yik Tualang Tinggi.

Tiga kawasan di Tanah Merah yang bergelap ialah Manal 1 & 3, Manal Baru dan Kilang Kayu Manal.

Daerah Machang pula menyaksikan enam kawasan ditutup bekalan elektriknya iaitu Kampung Tandak, Machang Indah, Limau Hantu, Taman Sri Kelaweh, Taman Setia Kasih, LPT Tok Coba dan Wakaf Indah.

Sementara itu, lima lokasi di Pasir Mas turut terjejas; Prima Lubok Jong 1-3, Taman Desa Wirajaya 1-3, Kusar, Danau dan Serendah.

Di Bachok, penduduk sekitar Wakaf Aik juga bergelap manakala di Kuala Krai hanya Taman Warisan setakat ini putus bekalan elektrik.

Sehingga jam 1 pagi tadi, TNB memaklumkan terdapat penambahan 14 pencawang elektrik yang dihentikan bekalan elektrik.

“Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat,” menurut kenyataan TNB.

Susulan itu, TNB mengingatkan penduduk di kawasan dilanda banjir sentiasa berwaspada dengan menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.

“Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” tambah TNB lagi.

BACA JUGA Tular banjir deras nyaris hanyutkan dua mangsa, penduduk dinasihat jangan pertaruh nyawa

Â