Rujuk sumber diragui isu PM individu terkaya, ADUN Pas mohon maaf
Seorang wakil rakyat Pas membuat permohonan maaf terbuka ketika persidangan DUN Pulau Pinang hari ini selepas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu terkaya di Malaysia.
Yusni Mat Piah (PN-Penaga) menarik balik ucapannya selepas ditegur Speaker Law Choo Kiang kerana menggunakan sumber diragui bagi kedudukan kekayaan yang dimiliki oleh Perdana Menteri.
Beliau juga mengakui bahawa kedudukan yang menjadi asas kepada dakwaannya mungkin tidak boleh dipercayai.
“Saya menarik balik kenyataan saya mengenai Anwar berhubung kedudukan pemimpin dunia dan memohon maaf kepada semua ahli dewan.
“Bagaimanapun mengenai pengisytiharan harta dan aset itu, adalah benar,” katanya pada sidang berkenaan.
Mohd Yusni sebelum ini dilaporkan menuduh Perdana Menteri sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia dengan memetik sumber tidak sahih iaitu ‘Love Money’.
Bagaimanapun Speaker menyatakan bahawa laman web itu sendiri mendakwa ia tidak menjamin ketepatan laporannya.
Sebelum itu ketika sidang DUN, Adun PKR, Gooi Hsiao Leung dan Lee Boon Heng, membangkitkan perkara tersebut dengan meminta Speaker mengambil tindakan terhadap Yusni atas kenyataannya.
Choo Kiang berkata, kekayaan Anwar tidak akan meletakkannya dalam kalangan yang terkaya di peringkat global atau bahkan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
“Sebagai Adun penggal kedua, kamu sepatutnya lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan Dewan.
“Kita ada peraturan Dewan, jangan merujuk artikel yang tidak boleh dipercayai dan tidak buat serangan peribadi atau sindiran yang mencemarkan nama baik perdana menteri,” katanya.
BACA JUGA Lain macam Kelantan mahu jadikan musim banjir sebagai produk pelancongan
Â