Google kata Malaysia boleh berbangga ada harta karun RM138 bilion
Ekonomi digital Malaysia terus mengukuh dan berkembang laju apabila nilai dagangan kasar (GMV) tahun ini dijangka mencapai RM138 bilion (AS$31 bilion).
Ia menyaksikan peningkatan 16 peratus lebih besar berbanding pada 2023, menurut laporan terkini e-Conomy Asia Tenggara (SEA) 2024 yang dikeluarkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company.
Menurut laporan The Edge, Pengarah Google Malaysia Farhan Qureshi berkata, ekonomi digital negara ini telah menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, malah semakin mendekati sasaran keuntungan sambil mengekalkan pertumbuhan.
Secara asasnya perkara yang sangat menarik sehingga memacu perkembangan ekonomi Malaysia adalah bagaimana penggunaan kecerdasan buatan (AI) berjalan dengan baik.
Pengguna di Malaysia menduduki 10 negara teratas di dunia dari segi minat terhadap carian AI.
“Semua pelaburan yang kita lihat di Malaysia dengan kira-kira AS$15 bilion (RM67 bilion) telah diumumkan oleh pelbagai peserta industri.
“Google juga membuat pengumuman pelaburan hampir AS$2 bilion (RM9 bilion),” kata Farhan seperti dilapor.
Wilayah seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor menjadi pemacu utama minat terhadap AI di negara ini.
Sehingga suku pertama 2024, Malaysia telah mencatatkan pelaburan infrastruktur AI bernilai US$15 bilion, iaitu hampir 50% daripada keseluruhan pelaburan AI di Asia Tenggara.
Kapasiti pusat data negara kini berada pada 120 megawatt, dan dijangka berkembang lima kali ganda dalam beberapa tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang meningkat.
Selain itu e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital di Malaysia.
Sektor itu meningkat sebanyak 17 peratus kepada AS$16 bilion (RM71 bilion) GMV pada 2024, apabila platform e-dagang utama melabur semula dalam pertumbuhan GMV, berserta dengan kebangkitan perdagangan video.
Farhan menegaskan, Malaysia memiliki potensi besar untuk terus berkembang, terutama dengan pelaburan besar dalam AI dan infrastruktur data.
“Ketika kita melihat perjalanan AI di Malaysia, ia adalah sesuatu yang harus kita banggakan. Hampir separuh daripada pelaburan AI di Asia Tenggara berlaku di sini,” katanya.
BACA JUGA Rujuk sumber diragui isu PM individu terkaya, ADUN Pas mohon maaf