Bantuan tanaman semula di kawasan KADA selepas banjir

Bantuan kepada pesawah di kawasan seliaan Lembaga Pembangunan Pertanian Kemubu (KADA) akan diberikan selepas banjir, kata Khalid Samad yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan agensi tersebut pada 1 Disember.

“Kita akan bantu dalam proses penanaman semula. Bantuan pihak KADA akan diberikan selepas banjir.

“Saya telah berbincang dengan lembaga pengarah dan pengurus besar. Usaha mitigasi dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Kita hanya beri bantuan sokongan sekarang,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan media bahawa 26,000 hektar sawah padi di bawah seliaan KADA terkesan kerana bencana banjir.

Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan Zuha Ismail berkata kebanyakan petani di kawasan yang terkesan baharu sahaja menanam benih. Ada segelintir yang menunggu tuaian.

Khalid turut menyatakan bahawa buat masa sekarang bakul makanan diedarkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.

“Para petani yang berada di PPS juga boleh menghubungi wakil kami di sana untuk mendapatkan bantuan.”

Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas kerana banjir sekarang.

BACA JUGA: Jumlah mangsa banjir terus meningkat – 120,658

Â