Bencana banjir di 9 negeri makin teruk, 64 peratus mangsa dari Kelantan

Bencana banjir di sembilan negeri semakin teruk dengan 150,492 mangsa sedang berlindung di 698 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8.15 pagi tadi.

Sebanyak 64 peratus daripadanya iaitu 96,802 orang adalah dari Kelantan yang membabitkan 29,954 keluarga.

Kesemua mangsa dari 10 daerah itu pada masa ini ditempatkan di 284 PPS ketika sungai utama di Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat telah melebihi paras bahaya.

Terengganu pula pada masa ini merekodkan sebanyak 311 PPS diaktifkan untuk menempatkan 41,945 orang daripada 11,555 keluarga yang terjejas di lapan daerah.

Di Kedah, banjir yang melanda tujuh daerah menyebabkan 7,946 mangsa daripada 2,438 keluarga ditempatkan di 52 PPS.

Mangsa banjir di Negeri Sembilan pula kini sudah mencecah 1,925 orang daripada 538 keluarga di 13 PPS melibatkan tiga daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Jempol.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memaklumkan seramai 611 mangsa banjir di Johor daripada 179 keluarga berlindung di 14 PPS dengan dua daerah terjejas iaitu Tangkak dan Segamat.

Di Perlis, 363 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di Arau dan Kangar.

Sementara itu, Selangor mencatatkan 114 mangsa banjir daripada 36 keluarga di dua PPS di Klang.

Di Melaka, terdapat 313 mangsa daripada 76 keluarga dengan tiga daerah terlibat.

Di Pahang, hanya Raub terjejas setakat ini dengan 15 PPS dibuka menampung 473 mangsa daripada 149 keluarga.

BACA JUGA Dah banjir baru sembang ketepikan perbezaan, ramai kecam tak jadi nak tolong

Â