Bimbang kerajaan Madani semakin korbankan kepentingan Melayu? Ini penegasan PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekhuatiran segelintir pihak yang beranggapan kerajaan Madani semakin mengorbankan kepentingan Melayu kerana mengejar keterangkuman adalah tidak berasas sama sekali.
Perdana Menteri berkata, kerajaan diterajuinya tidak akan berkompromi sama sekali dalam soal Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Bahkan, selepas mengambil alih Bandar Malaysia daripada entiti asing, kerajaan inilah yang telah mewartakan sekurang-kurangnya 50 ekar kawasan itu sebagai Tanah Rizab Melayu.
“Ini jaminan Kerajaan untuk melindungi kepentingan orang Melayu, di samping berlaku adil pada setiap rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau mengulas kekhuatiran segelintir pihak, termasuk dalam kalangan ahli Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) 2024, yang beranggapan kerajaan pada masa ini semakin mengorbankan kepentingan Melayu kerana mengejar keterangkuman.
Perdana Menteri memberitahu perkara tersebut ditegaskannya dalam ucapan beliau di Majlis Jamuan Makan Malam MCOBA di ibu negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, walau bagaimanapun salah guna kuasa atas nama Melayu dan Bumiputera tidak mungkin boleh dibiarkan.
“Begitu banyak dasar-dasar untuk orang Melayu dan Bumiputera telah diperkudakan untuk memperkayakan kroni, ahli keluarga dan elit politik.
“Kerana itu kita harus bersama dan senada dalam melaksanakan dasar-dasar bagi mengangkat ekonomi Melayu dan Bumiputera secara telus, sesuai dengan tuntutan zaman serta memastikan lebih ramai menerima manfaat terutama miskin bandar dan pedalaman, ketimbang hanya kroni dan pihak tertentu,” tegas Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Selepas cubaan Shahidan gagal, Azmin pula dakwa pilihan raya mengejut