Ini sebabnya Zahid sebut nama PKR, AMANAH dalam Konvensyen BN Selangor
Jentera Barisan Nasional (BN) perlu mencontohi apa yang dilakukan parti di bawah Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berjalan aktif hingga berjaya pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata seluruh jentera parti perlu tidak menjadikan duit sebagai alasan untuk melakukan gerak kerja parti.
Berucap pada perasmian Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini, beliau membawa pemimpin dan peserta konvensyen itu mengimbas kembali zaman ‘mewah’ BN ketika kempen PRU lalu, tetapi akhirnya gagal membentuk kerajaan.
“Kalau komponen tak ada duit, parti pun tak ada duit. Buatlah kerja (macam) tak ada duit.
“Masa PRU14, kita sangat mewah, adakah dapat bentuk kerajaan? Duit bukan segala-galanya walaupun segala-galanya memerlukan duit.
“Jadi, jangan guna alasan duit untuk tidak bekerja.
“Tanya PKR, tanya AMANAH, (parti itu) lebih miskin lagi (berbanding BN) sehingga sekarang, (tetapi) duit bukan keutamaan,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam masa sama mengingatkan ahli UMNO dan parti komponen supaya tidak terlalu bergantung kepada ahli parti semata-mata untuk memberi undi.
“Kita tidak boleh gunakan dan bergantung kepada ahli parti untuk jadi penyokong sebagai pengundi bagi calon yang kita kemukakan (semasa pilihan raya).
“Realiti baharu adalah kita dalam PH yang juga mempunyai ahli dan juga penyokong, apatah lagi mereka yang tidak menjadi mana-mana ahli parti.
“Mereka kerap menjadi faktor penentu bagi kemenangan calon BN dan calon PH atas semangat calon Kerajaan Perpaduan, saya menyebut hal ini satu realiti baharu yang harus kita depani,” tambah Ahmad Zahid lagi.
BACA JUGA Tenat dah rupanya kedudukan kewangan Bersatu
Â