Tenat rupanya kedudukan kewangan Bersatu

Ibarat dalam keadaan ‘tenat’. Itulah kedudukan kewangan Bersatu sekarang yang didedahkan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu hari ini.

Bendahari Agung Bersatu, Datuk Seri Rina Harun mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, Bersatu kini berdepan kesukaran untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pada peringkat akar umbinya.

“Kedudukan kewangan parti kita kritikal, akaun masih dibekukan dan disita. Saya akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya menyampaikan ucapan penangguhan.

Rina berkata, pelbagai pendekatan dibuat parti untuk menjana sumber kewangan termasuk menceburi bidang keusahawanan.

“Keadaan rumah kita ada isu dalaman (kewangan) perlu ditangani.

“Kalau kita dapat bantu parti dengan keringat kita, sayangnya kita kepada Bersatu akan lebih mendalam.

“Bila kita memberi, kita akan rasa lebih sayang kepada parti.

“Saya juga mahu gerakkan bendahari peringkat negeri dan bahagian, supaya kita dapat jana pendapatan dan ekonomi, sekurang-kurangnya untuk bahagian boleh bergerak sendiri,” kata Rina lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperoleh parti itu daripada hasil haram.

BACA JUGA Bimbang kerajaan Madani semakin korbankan kepentingan Melayu? Ini penegasan PM

Â