Ada perkara yang buat PM Anwar bangga pada banjir kali ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa bangga dengan persiapan pasukan jentera kerajaan kali ini yang bertungkus lumus memastikan keselesaan dan keselamatan mangsa banjir di sembilan negeri.

Berucap di hadapan ratusan penjawat awam pagi ini, Anwar menyifatkan persiapan jentera di peringkat Persekutuan dan negeri sangat luar biasa.

“Saya lihat jentera, (dan lihat sendiri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang turun memantau lebih dekat. Saya sempat semalam ke Terengganu. Satu perkara saya bersyukur, persiapan jentera kita luar biasa kali ini. Itu disebut ikhtiar kita.

“Kita ada penyelarasan diuruskan Zahid (selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara) bersama NADMA, polis, tentera, dan seluruh jentera.

“Kesiapsiagaan (telah mula) berbulan sebelumnya jadi tak terlalu sukar jika ada persiapan baik. Majoriti saya lihat adalah jentera Persekutuan dan negeri. Saya sangat terharu.

“Melihat sendiri persiapan tentang mutu makanan, keselesaan tempat tinggal tentunya terbatas tapi saya bersyukur dan bangga dengan khidmat yang ditunjukkan,” katanya dalam perjumpaan bersama warga jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekos, sehingga kini seramai 82,794 pegawai dan anggota telah diatur gerak bagi menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas khususnya di Pantai Timur.

Sementara itu Anwar berkata, beliau berbangga dengan semangat kekitaan yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa, sama-sama saling membantu mereka yang terjejas.

BACA JUGA Ini jumlah kerugian pertanian di Kelantan selepas hampir seminggu banjir

Â