Kewibawaan Khalid mampu bantu KADA perkasa sektor pertanian

Pelantikan Khalid Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau dalam memimpin dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau percaya dengan kewibawaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu yang akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa sektor pertanian khususnya di Kelantan.

“Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan, pengalaman, serta komitmen beliau dalam memimpin serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Bang Mat yakin dengan kewibawaan dan visi Khalid, KADA akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pertanian, khususnya di Kelantan, demi manfaat para petani dan masyarakat keseluruhannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH menggantikan bekas pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain yang menggalas jawatan itu sejak Mei tahun lalu.

Kada merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan yang bertanggungjawab memajukan dan menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial golongan petani di kawasan Kemubu di Kelantan.

Sementara itu Mohamad turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Muhammad Husain atas segala jasa, usaha, dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi KADA.

BACA JUGA Ini jumlah kerugian pertanian di Kelantan selepas hampir seminggu banjir

Â