Khalid persoal siapa batang tubuh yang beri tanah rizab polis Taman Desa kepada pemaju

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Khalid Samad menyoal siapa pihak yang bertanggungjawab dalam pemberimilikan tanah rizab polis di Taman Desa kepada pemaju yang telah didedahkan oleh Teresa Kok (PH-Seputeh) meskipun is tidak dipersetujui oleh Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.

“Ia jadi tanda tanya siapa yang cadangkan idea tersebut? Siapa cadang tanah itu diserahkan kepada pemaju?

“Kalau bukan idea itu datang daripada PDRM, mungkin ada pihak lain yang berminat iaitu pemaju.

“Penduduk dan ahli Parlimen pula tidak dilibatkan, tiba-tiba tapak polis sudah ada kebenaran merancang,” katanya dalam satu siding akhbar di Kampung Baru.

“Jika perancangan bandar dah ada tetapi kemudian ditukar kepada pemaju, ini tak betul.

“Ini membuka pintu luas kepada amalan rasuah, apabila tanah yang telah dirizab untuk sekolah hospital atau kemudahan lain, boleh ditukar kepada pemaju tanpa ada proses perbincangan telus dengan pihak berkepentingan,” katanya lagi.

Justeru itu Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa didesak untuk memberikan penerangan sewajarnya.

Beliau turut mendakwa bahawa pemberimilikan tersebut baharu sahaja dilakukan dan tidak dibincangkan ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Kok mendedahkan beliau menerima jawapan bertulis yang menyatakan Mesyuarat JKTWPKL bertarikh 27 Jun 2024 bersetuju meluluskan permohonan pemberimilikan tanah rizab polis di Lot 54780 di Taman Desa seluas 0.86 ekar kepada syarikat swasta untuk mendirikan kondominium.

Selepas itu beliau membangkitkan isu itu dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan menerima jawapan bertulis daripada kerajaan yang menyatakan KDN dan PDRM tidak setuju lot itu dijual kepada pihak swasta kerana KDN mempunyai rancangan untuk membangunkan Balai Polis Brickfields di lot tersebut.

BACA JUGA: Angin ribut bakal melanda Kelantan, Terengganu hari ini

Â