POCA untuk kekang kultus?

Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sebagai undang-undang pencegahan sedia ada untuk mengekang perkembangan kultus seperti Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

“Pada masa kini Kementerian sedang mengkaji kesesuaian menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) terhadap kumpulan kultus.

“Hal ini kerana, undang-undang bersifat punitif berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan masalah sedemikian secara holistik disebabkan masalah teknikal perundangan seperti mana undang-undang pencegahan.

“Sekiranya terdapat keperluan meminda akta tersebut, kementerian akan melaksanakan tindakan sewajarnya termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh yang berkepentingan,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu jawapan bertulis.

“Selain itu, Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) yang menggariskan sebanyak empat (4) teras dan mengandungi 15 Fokus Strategik, 59 Inisiatif, dan 60 Petunjuk Prestasi Utama. Kerajaan percaya pelan tersebut berupaya untuk mencegah penularan fahaman pelampau di kalangan masyarakat Malaysia,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam jawapan kepada Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menggubal atau meminda undang-undang baharu bagi mengekang kegiatan kultus dengan lebih berkesan dan menyeluruh seperti GISBH.

BACA JUGA: Pingat Wira Negara, cadangan senator iktiraf anggota perkhidmatan awam barisan hadapan yang melawan Covid-19

Â