Saya tak pernah dengar pampasan dibayar ikut nilai masa depan, Khalid beritahu Zaliha

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menuntut Menteri Wilayah Persekutuan, Zaliha Mustafa agar berlaku adil terhadap penduduk Kampung Sungai Bharu yang enggan berpindah supaya diberikan pampasan yang sewajarnya.

Beliau berkata, kenyataan Zaliha di Dewan Rakyat bahawa penduduk yang bersetuju untuk berpindah diberikan pampasan lebih tinggi kerana nilai itu didasarkan pada nilai masa depan, adalah kenyataan luar biasa.

Kata Khalid, kenyataan menteri yang menggunakan hujah tidak masuk akal seperti itu hanya mahu menutup ketidakadilan yang sedang berlaku.

“Ini kenyataan agak luar biasa kerana saya tak pernah dengar mana-mana pemaju bayar pampasan ikut nilai harga masa depan.

“Saya tak nampak dalam perjanjian dengan mana-mana pemaju yang menyebut bahawa (harga) ini adalah berdasarkan penilaian hartanah pada 2024 atau 2028. Tak ada.

“Ia ditandadatangani pada masa itu dan ganti rugi pada masa itu. Saya rasa ini adalah hujah untuk menutup ketidakadilan di mana pemilik yang tak setuju itu diberikan pampasan sebanyak RM450 kaki persegi.

“Ini nak cover up guna hujah tak masuk akal dan tak munasabah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khalid berkata, tindakan menteri dan kerajaan meneruskan apa yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) adalah tidak adil.

Sebelum ini Zaliha berkata, pemberian pampasan kepada pemilik hartanah dilaksanakan mengikut dua kaedah bergantung kepada keputusan golongan itu sama ada bersetuju atau tidak.

Menurutnya, pemilik yang bersetuju dengan usaha sama pembangunan akan mendapat pampasan lebih tinggi kerana nilai itu didasarkan pada nilai masa depan (future value) hartanah di Kampung Sungai Baru.

Sebaliknya, pampasan untuk pemilik yang menolak pengambilan tanah, ditentukan berdasarkan nilai pasaran semasa mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan penilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Peluang kerajaan kayakan ramai Melayu

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional menegaskan, kerajaan sepatutnya mengambil peluang keemasan seperti ini untuk mengkayakan penduduk Kampung Sungai Baru yang majoritinya adalah orang Melayu.

Mengambil contoh seperti di Shanghai, penduduk yang dahulu menetap di bandar itu kini menjadi jutawan dan kaya raya selepas diberikan pampasan yang tinggi oleh kerajaan mereka.

Oleh sebab itu Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ini adalah peluang keemasan buat kerajaan menghasilkan lebih banyak orang Melayu menjadi jutawan.

“Bagi AMANAH WP, Kampung Baru adalah peluang keemasan nak kayakan orang Melayu dengan diberikan pampasan yang adil pada tanah yang dalam segi tiga emas di KL.

“Saya hairan kenapa kerajaan sekarang tak ambil peluang dan kesempatan ini untuk bantu orang Melayu.

“Kita akan sentiasa menuntut keadilan kerana ini adalah satu-satunya hartanah milik mereka yang mereka warisi,” ujarnya.

BACA JUGA Khalid persoal siapa batang tubuh yang beri tanah rizab polis Taman Desa kepada pemaju

Â