Dulu dibuang kerja, kini peserta IPR INSAN ini mampu raih RM8,000 sebulan

Dalam usaha memperkasa kewangan peribadi rakyat, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) berjaya membantu golongan B40 di negara ini menaiktaraf kehidupan mereka.

Salah seorang peserta IPR INSAN dikenali sebagai Hisham yang menyertai program ini sejak setahun lalu, mampu menarik nafas lega apabila menjana pendapatan RM8,000 sebulan dengan menjual kira-kira 10 menu melalui mesin layan diri.

Jika ditolak kos, pendapatan bersih bapa kepada enam orang anak itu sekitar RM5,000 sebulan.

Menerusi perkongsian video dimuat naik Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, peserta IPR itu merupakan seorang bekas pegawai operasi di sebuah syarikat swasta.

Bagaimanapun dia kehilangan pekerjaan itu pada tahun 2022 selepas syarikat tempatnya bekerja bankrap.

Kongsi Hisham, selepas mendengar pengumuman kerajaan berkenaan IPR INSAN, dia mencuba nasib untuk menghantar permohonan sebelum akhirnya diluluskan oleh kerajaan.

“Pada 2022 syarikat bankrap, saya pun tak ada kerja. Kehidupan selepas itu susah sikit lah sebab komitmen banyak.

“Alhamdulillah, lepas sertai program IPR ini walaupun tak bekerja tapi sumber pendapatan itu ada. Sekurang-kurangnya ada lah pendapatan kan berbanding saya tak kerja langsung.

“Saya dapat tahu tentang IPR ini lepas kerajaan umumkan. Saya pun buat carian di internet. Saya pun mohonlah. Tak sangka ada rezeki,” katanya dalam video yang dikongsi Rafizi di Facebook.

Pada masa sama Hisham berkata, program yang dimulakan kementerian ekonomi ini ternyata mampu membantu golongan B40 menambah pendapatan dan menaiktaraf kehidupan mereka.

Sementara itu Rafizi dalam hantarannya turut menyatakan rasa gembira melihat kejayaan peserta IPR yang kini boleh meraih ribuan ringgit sebulan.

“Abang Hisham kita memang bersungguh buat IPR INSAN. Sampai 10 menu dia buat untuk mesin vending ni.

“Dulu dibuang kerja sebab syarikat bankrap. Alhamdulillah, sekarang boleh jana pendapatan sampai RM60,000 setahun.

“Happy saya tengok isteri dia, Kak Wani tolong sekali. Susah senang bersama. Kalau ada naik KTM dekat Bukit Mertajam, cuba-cubalah masakan mereka ni,” katanya.

BACA JUGA Guan Eng, Kit Siang, Teresa Kok menang kes fitnah terhadap Ahli Parlimen Pas

Â