PM Anwar marah dapat tahu projek MyDigital ID,5G tertangguh setahun

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana terpaksa melepaskan kemarahan yang agak keras dalam satu mesyuarat semalam.

Kemarahan itu berikutan kelewatan projek MyDigital dan rangkaian kedua 5G yang sudah hampir setahun.

Katanya, beliau agak tidak sabar apabila mengetahui urusan rundingan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan syarikat telekomunikasi telah lama tertangguh, dengan kedua-dua pihak belum memberikan sebarang maklum balas.

“Ada hal hal rumit berbangkit yag menyebabkan saya agak kurang sabar. Boleh jadi dalam dua tahun ini, (pertama kali) saya melahirkan kemarahan yang keras sikit. Jadi saya minta maaflah. Kadang-kadang harapan kita tinggi.

“Bila MyDigital terlambat pelaksanaannya hampir setahun dan urusan dengan DNB dan telco tertangguh…(malah) peringatan kita satu tahun lalu belum dijawab secara positif oleh kedua-dua pihak, ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran,” katanya dalam pertemuan bulanan bersama kakitangan Kementerian Kewangan pagi ini.

Kemarahan itu dizahirkan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), semalam.

Anwar berkata, kemarahannya itu menyebabkan menteri-menteri yang hadir turut terkejut.

“Saya pun ada kekurangan. Berharap tinggi menggunung, kadang-kadang bila tak kesampaian (jadi kecewa)… menteri-menteri yang hadir terkejut dengan sikap saya. Saya minta maaf setulusnya…,” ucapnya lagi.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, sukar untuk negara hendak maju ke arah digital dan perkembangan AI sekiranya perkara asas yang patut dibina belum disiapkan.

“Saya anggap cuai, kerja lambat.. bagi saya macam mana kita nak ke arah digital dan AI padahal perkara asas yang patut kita bina dalam negara itu belum kita siapkan,” katanya lagi.

Berkenaan MyDigital, Anwar pada 21 November lalu, mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan kerajaan.

Namun setakat November lalu, media melaporkan hanya 1.2 juta pengguna sudah mendaftar di bawah MyDigital.

BACA JUGA Bukti bukan ‘Malaya’ rompak hasil Sabah, bekas Pengarah JANS rupanya 11 tahun sorok duit lebih RM45 juta

Â