‘Ulama’ Pas tegur hakim, peguam bukan pemfitnah

Bukannya mahu beri nasihat agar mengelak buat fitnah sebaliknya bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani menegur para hakim dan peguam.

Tangkap layar hantaran Ahmad Dusuki mengenai peringatan terhadap pengamal undang-undang itu tersebar selepas Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kalah saman fitnah lebih RM800,000.

Teguran Ahmad Dusuki yang juga pernah kena saman kerana memfitnah itu memetik Hadis Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah.

“Saya ingin mengingatkan kepada setiap para hakim dan peguam di Malaysia terhadap hadis Rasulullah ini…” katanya.

Dia juga menceritakan pengalamannya sewaktu belajar di Universiti Al-Azhar dalam bidang syariah dan undang-undang.

“… hadis ini sering diperingatkan kepada kami, sehingga ada pensyarah yang menyarankan kepada kami supaya jika tiada undang-undang Islam di negara kalian yang dilaksanakan maka sebaiknya tinggallah bidang kehakiman ini, dibimbangi akhirnya ke neraka jua sudahnya. Sempaikan salam saya kepada setiap hakim itu,” ujarnya.

Dalam tangkap layar yang tersebar itu, kenyataan Ahmad Dusuki yang juga anak saudara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tersebut meraih lebih 5,000 tanda suka dan 2,000 komentar.

Walau bagaimanapun, semakan mendapati hantaran asal tersebut tidak dapat dijejaki dan difahamkan telah dipadam.

BACA JUGA Boleh mulakan siasatan jenayah ke atas Mahathir, syor RCI Batu Puteh

Â