Bukan saja ekonomi, budaya bersarapan era Malaysia Madani pun diiktiraf dunia
Budaya bersarapan di negara ini tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengiktirafan Budaya Sarapan di Malaysia: Pengalaman Menjamu Selera Masyarakat Pelbagai Etnik itu diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay bermula 2 hingga 7 Disember.
Badan Penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia itu memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 UNESCO.
“Budaya Sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, penglibatan dan penerimaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dan merupakan elemen warisan kebudayaan tidak ketara.
“Kepelbagaian itu selari dengan kriteria UNESCO sekali gus memberi impak dalam hubungan sosial masyarakat serta mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum,” kata seorang penilai menerusi klip video yang tular di media sosial.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan, memaklumkan Badan Penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, UNESCO.
“Kejayaan pengiktirafan budaya ini akan menggalakkan lebih banyak usaha perlindungan warisan tidak ketara dapat dilakukan secara sinergi melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuklah kerajaan, persatuan dan komuniti tempatan selain membuka peluang jaringan kerjasama lebih luas dalam pelbagai bidang,” kata MOTAC.
MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengemukakan dokumen pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia kepada pihak sekretariat UNESCO pada 30 Mac 2023.
Ia merupakan pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan serta gastronomi Malaysia.
Menurut MOTAC, pengiktirafan itu membuktikan komitmen kementerian itu dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu penumpuan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.
Kementerian itu turut menyifatkan pengiktirafan Budaya Sarapan di Malaysia sebagai warisan tidak ketara UNESCO itu merupakan hasil kerjasama kolektif semua pihak yang terlibat.
Kerjasama terbabit khususnya warga MOTAC termasuk JWN serta Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan Kementerian Luar.
“Pengiktirafan ini juga sekali gus menunjukkan kredibiliti Malaysia ke persada dunia sebagai calon yang selayaknya menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi 2025-2029,” kata MOTAC lagi.
BACA JUGA ‘Banyak gembira jumpa YB’, Rafizi ceria kongsi bermacam ragam rakyat