Dua sungai di Kelantan di tahap waspada, trend menaik tengah malam ini

Dua sungai di Kelantan berada dalam trend menaik dengan aras air masing-masing melebihi tahap waspada menjelang tengah malam ini.

Menerusi laman web Public InfoBanjir, paras air di Sungai Semerak di Pasir Puteh pada masa ini mencecah 2.05 meter (m) melebihi tahap waspada 2m.

Sementara itu, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula mencatatkan bacaan 2.03 m juga melampaui tahap waspada 2m.

Tiga sungai lagi turut mengalami trend menaik tetapi masih dalam kategori normal setakat 11.15 malam tadi.

Sungai terbabit adalah Sungai Buaya Ikat di Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh (0.7m), Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok (5.78m) dan Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja, Kota Bharu (0.99m).

Semakan dari segi jumlah hujan pula mendapati kawasan Sungai Buaya Ikat di Pasir Puteh menerima 34 milimeter (mm) hujan dan berada pada tahap lebat menjelang tengah malam ini.

Kadar hujan pada tahap sederhana pula dicatatkan di kesemua sungai di Kelantan yang kini sedang dalam trend menaik.

Pada Oktober lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengingatkan tentang hujan akibat monsun timur laut dijangka memuncak pada Disember ini dan jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

MetMalaysia juga memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 16 Disember ini.

Keadaan itu dijangka menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung selain utara serta Sabah sepanjang tempoh berkenaan.

Banjir gelombang pertama di Kelantan merekodkan seramai 118,326 mangsa melibatkan 10 daerah bermula 25 November lalu.

Sebanyak 318 pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dan menempatkan 36,613 keluarga sepanjang tempoh bah gelombang pertama sebelum ditutup sepenuhnya pada jam 8 malam tadi.

BACA JUGA Luruan monsun diramal hingga 16 Disember, apa maksudnya?

Â