Boleh pula peraga kemewahan tapi tak bayar hutang, Asyraf Wajdi tuju kepada siapa?
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membidas individu atau pihak berkaitan yang enggan membayar hutang sebaliknya boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial.
“Hutang wajib dibayar! Usah merayu kepada kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang,” katanya.
Beliau menegaskan mahu menjaga amanah wang rakyat di bawah agensi tersebut.
“Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah Mara, bakal dipersoalkan Allah kelak,” katanya tanpa menyebut nama individu atau pihak berkaitan hutang tersebut.
Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berkata, Mara tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam mengambil tindakan.
“Mara terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang.
“Malah, sebelum apa jua tindakan perundangan dilakukan, nilai ihsan juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke Mara berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka.
“Namun, jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar (procrastination) walaupun berkemampuan, bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, Mara tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan,” ujarnya menerusi hantaran Facebook.
Tambahnya, tindakan perundangan yang diambil bermakna jalan terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain.
BACA JUGA Khairul Aming akui otak dah tak stabil selepas kena ‘bakteria banjir’