Dakwaan kahwin dengan Tengku Hassanal, ini penjelasan Istana Pahang

Tanda tanya berhubung pengakuan seorang wanita yang kononnya akan berkahwin pada tahun hadapan dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah akhirnya terjawab.

Istana Pahang menafikan dakwaan pengguna Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, pihak istana menafikan sebarang istiadat perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada April tahun hadapan.

“Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama dan meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuatnaik selain daripada Portal Rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube menggunakan nama Kesultanan Pahang.

“Tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Faridah ‘menerangkan’ berkenaan majlis perkahwinannya bersama Tengku Mahkota Pahang.

Wanita berkenaan menerusi hantaran di story Instagram itu mendakwa bakal melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan.

Dia secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.

Pada 24 September lalu, Faridah juga mengejutkan orang ramai apabila membuat fitnah sama.

BACA JUGA Khairul Aming akui otak dah tak stabil selepas kena ‘bakteria banjir’