Dakwaan yuran TASKA, TABIKA naik tahun depan, ini penjelasan KEMAS

Tiada kenaikan yuran membabitkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi sesi persekolahan 2025.

Menerusi kenyataan hari ini, Unit Komunikasi Korporat KEMAS sentiasa cakna akan bebanan kos sara hidup yang didepani masyarakat ketika ini.

“KEMAS ingin mengesahkan bahawa tiada kenaikan yuran akan dikenakan bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

“Kerajaan MADANI melalui KEMAS, sentiasa prihatin terhadap bebanan rakyat dan berusaha meringankan kesulitan yang dihadapi masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu susulan kebimbangan masyarakat terutama ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke TABIKA dan TASKA kendalian KEMAS berikutan laporan berita bertajuk ‘Yuran taska dan tadika meningkat hingga 25 peratus’.

“Merujuk kepada laporan terbabit, kami ingin memaklumkan bahawa ia tidak membabitkan TABIKA dan TASKA di bawah kendalian kami.

“Kami berharap ibu bapa kekal tenang dan terus menjadikan TABIKA KEMAS sebagai pilihan utama dalam pendidikan awal kanak-kanak,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Kes rasuah projek RM250 juta di Sarawak: Seorang lagi ‘Datuk’ ditahan

Â