‘Hentikan apa yang sedang berlaku di Kelantan, Terengganu…’
Pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Nurul Izzah Anwar menekankan bahawa tumpuan perlu diberikan terhadap penyesuaian iklim sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani banjir di Malaysia.
“Penting untuk kita menghentikan apa yang sedang berlaku di Kelantan, Terengganu, dan mungkin mengubah cara kita menyesuaikan diri dengan perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program The Nation bertajuk, ‘Human Security in Malaysia’ terbitan Bernama TV, semalam.
Dalam masa sama, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, usaha berterusan untuk menangani bencana banjir perlu diberi keutamaan kerana aspek keselamatan insan menunjukkan bahawa mangsa banjir telah kehilangan tempat tinggal, menghadapi ketidakpastian berkaitan di mana mereka akan tinggal serta tidak pasti sama ada dapat memulihkan harta benda mereka.
“Mereka tidak tahu bila serangan seterusnya (gelombang) akan berlaku. Bila banjir akan melanda lagi.
“Hal ini membawa kita kepada persoalan bagaimana kita dapat menangani masalah ini bersama-sama,” kata Nurul Izzah lagi.
Sehingga pukul 6.50 pagi tadi, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan Kemaman dan Dungun di Terengganu paling teruk terjejas.
Jumlah mangsa banjir di kedua-dua daerah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 5,802 orang melibatkan 1,445 keluarga.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman melepasi paras amaran, dengan ketinggian 3.85 meter dengan trend menaik.
Empat sungai lagi di Setiu, Kuala Terengganu, Dungun dan Sungai Tebak di Kemaman pula mencatatkan paras melebihi tahap waspada.
BACA JUGA Luruan monsun diramal hingga 16 Disember, apa maksudnya?