Malaysia perkukuh suara, lonjak peranan negara-negara membangun

Malaysia berharap untuk memperkukuh suaranya serta melonjak peranan negara-negara membangun dalam memungkinkan sebuah tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang menerusi penyertaan dalam BRICS.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin melalui kerjasama yang ampuh dan strategik antara negara-negara, khususnya negara-negara Islam serta negara-negara sahabat yang lain, kekuatan bagi membentuk persefahaman dan pakatan baru yang lebih utuh dapat dimiliki.

“Atas premis yang sama, maka Malaysia memilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar inisiatif BRICS,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri mengulas kehadirannya dalam ‘Persidangan Rusia dan Dunia Islam: Dialog Rusia-Dunia Islam Di Era Multipolar’ yang turut dihadiri sahabat karib beliau, Rais Tatarstan iaitu Rustam Nurgaliyevich Minnikhanov dan pemimpin dunia Islam yang lain.

“Saya sentuh mengenai kenyataan yang dibuat Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin kepada kita yang diikuti rapat Rais Tatarstan bahawa situasi dunia yang kita hadapi sekarang ini adalah yang paling mencabar.

“Sebagai tuan rumah kepada persidangan ini, saya ucap penghargaan yang setingginya kepada Rais Tatarstan,” ujarnya.

Beliau menyifatkan persidangan sedemikian amat penting kerana ia membuka peluang kepada kerjasama strategik antara negara-negara peserta.

“Malaysia percaya bahawa hanya melalui kerjasama yang erat kita dapat mempertahankan hak dan suara kita secara bebas dalam persekitaran dunia yang melaju ke arah persekitaran yang pelbagai kutub (multipolarity).

“Namun, kita masih dirundung dengan pelbagai isu dan konflik, dan persidangan seperti ini lantas menjadi terpenting sebagai medan dialog dan wacana yang ampuh di era yang diselaputi pelbagai tragedi besar yang menimpa umat manusia secara keseluruhan dari Gaza hingga ke sebahagian benua Eropah,” kata Anwar.

Menurutnya lagi, sebagai negara yang menjunjung kedaulatan dan kebebasan dalam dasar luarnya, Malaysia akan terus berusaha untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendukung keamanan, keadilan, dan pembangunan global.

BACA JUGA ‘Hentikan apa yang sedang berlaku di Kelantan, Terengganu…’

Â